Abbasiyah, 12 Julai – Majlis ramah mesra antara pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Universiti Ain Shams bersama Pegawai Kedutaan serta pegawai JPA telah diadakan di sini semalam. Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Dato’ Abdul Malek Abdul Aziz, selaku wakil Kedutaan Besar Malaysia- Jordan, Encik Shaiful Anuar, Ketua Canseri dan Encik Zikril Azan bin Abdullah merangkap wakil pegawai JPA . Turut hadir Pengerusi PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS), saudara Abdullah bin Azahari bersama kesemua barisan kepimpinan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PCS.

Majlis yang diadakan di rumah saudara Zulkifli Abd Rahim, Ketua Biro Kebajikan (B-CARE) PCS ini berlangsung serba ringkas tepat jam 5 petang dengan dipengerusikan oleh saudara Abdul Muiz. Encik Zikril Azan dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan semua pelajar ke majlis ini dan menerangkan tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau sendiri tahap keselamatan pelajar Malaysia di Abbasiah selain beramah mesra dengan para pelajar.

jpa2

Sepanjang majlis ini berlangsung, pihak PCS melalui saudara Abdullah Azahari telah menerangkan mengenai keadaan seluruh mahasiswa Universiti Ain Shams berikutan pergolakan politik yang berlaku di Mesir serta langkah yang telah diambil bagi memastikan keselamatan para pelajar berada di tahap yang terkawal.

Sementara itu, wakil Datuk Duta Besar Malaysia- Jordan dalam ucapannya telah memberikan beberapa pesanan berguna kepada para pelajar termasuklah kepentingan menjaga dokumen-dokumen penting seperti passport, menghormati budaya tempatan serta mengingatkan para pelajar agar tidak masuk campur dalam sebarang aktiviti tunjuk perasaan. Selain itu, beliau juga menyarankan para pelajar pulang berpuasa dan berhari raya di Malaysia setelah tamat peperiksaan bagi memastikan keselamatan para pelajar yang lebih terjamin.

Majlis diakhiri dengan jamuan berbuka puasa bersama para pegawai serta pelajar Universiti Ain Shams. Pihak PCS amat berterima kasih dengan kehadiran pegawai atasan yang sanggup turun padang sekaligus bekerjasama dalam memastikan keselamatan pelajar sentiasa berada di paras yang terbaik.