31 Julai, Abbasiyah – Ramadan ke- 21 kelmarin tetap disambut dengan meriah oleh sebilangan ahli PCS yang masih berbaki di Abbasiyah.

Jawatankuasa IHRAM meneruskan takwim Ramadan dengan program Daurah Kitab Al- Ihathah yang membincangkan fiqh wanita pagi semalam di Surau Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK). Perbincangan teliti itu disampaikan oleh Ustaz Sofuan Shaberi. Pelbagai permasalahan dan pengelasan Istihadhah dijelaskan dengan terperinci oleh ustaz. Kelas siri akhir itu turut diserikan dengan kuiz fiqh wanita serta pembukaan kaunter zakat fitrah.

Pada waktu tengah hari pula, rombongan PCS memulakan ziarah Shantah Ramadan ke rumah anak- anak yatim Al- Ridha yang terletak berhampiran kuliah Perubatan Universiti Ain Shams di Abbasiyah. Rombongan yang disertai kira- kira 20 sukarelawan tersebut berjaya melaksanakan misi ramah mesra sambil mengedar bungkusan ole- ole buat 30 anak- anak yatim yang berumur dalam lingkungan 3 hingga 13 tahun. Ziarah yang julung- julung kali diadakan itu benar- benar menyuntik perasaan belas dan simpati buat golongan anak – anak kecil yang sudah diuji dengan kehilangan kedua- dua orang tua.

DSC_0155

DSC_0158

Usai gelincir matahari, Iftar Jamaie diadakan bagi seluruh ahli PCS. Iftar diadakan di rumah Saudara Zulkifli Ab Rahim bagi ikhwah dan Syuhada Azhar bagi akhawat. Majlis Iftar serba ringkas yang mengumpul juadah daripada setiap batch turut disertakan majlis tahlil buat bapa kepada Saudari Wan Tasnim Wan Muhamad (pelajar Tahun 3) dan datuk kepada Saudari Syarifah Amirah Habit Mustafa (pelajar Tahun 6) yang kedua- duanya kembali ke Rahmatullah petang semalam waktu Malaysia. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Alfatihah.

Memetik kata- kata Saudari Raihan Najwa Mat Napi sebagai pentazkirah kelmarin, “Allah ciptakan kita di bumi ini tanda cintanya Allah pada kita, begitu juga Dia inginkan kita beribadat bukan kerana kita hamba tapi kerana Allah cintakan kita. Maka, siapalah kita yang berhak marah apabila diuji oleh Pencinta kita sendiri. Bersabar dan reda akan ujian Allah.”

Abdul Rahim Abdul Rahman yang juga masih belum pulang ke Malaysia memberi ulasannya tentang Iftar Jamaie kelmarin, “Program iftar ini bagus kerana dapat merapatkan ukhuwah sesama ahli. Di samping itu, kami dapat bertukar juadah dan merasa air tangan senior serta junior. Antara juadah ‘potluck’ termasuk sate, kuah kacang, kari dan sambal telur. IHRAM ternyata dapat menyemarakkan rasa cinta kami pada Ramadan walau terpaksa menyambutnya jauh dari keluarga tercinta.”

IMG-20130730-WA0002

IHRAM akan terus menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang Ramadan yang sudah hampir meninggalkan kita. Antaranya, selepas ini akan diadakan program Shantah Ramadan ke Hospital Ain Shams serta Qiamullail dan Sahur Jamaie. Kita selaku umat Muhammad diseru untuk merebut peluang sepuluh malam terakhir yang dihadiahi Allah dengan Lailatul Qadar. Semoga Ramadan kali ini membentuk jiwa baharu yang dekat kepada Allah sesuai dengan agenda PERUBATAN; pembangunan modal insan.