Abbasiyah , 20 Julai – Jawatankuasa Ihya’ Ramadan (IHRAM ’13) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) semalam berjaya melaksanakan program sulung selepas tamat tempoh tawaquf program sempena peperiksaan sebelum ini.

Program mega yang dinamakan Raudhah Ramadan tersebut merupakan program yang julung- julung kali dilaksanakan di PCS lantaran IHRAM sebelum ini yang hanya dilaksanakan di peringkat pusat.

Raudhah Ramadan merupakan program trio yang menghimpunkan Daurah Fiqh Siyyam, Perasmian IHRAM ’13 dan Iftar Jamaaie.
Daurah Fiqh Siyyam yang disampaikan oleh Ustaz Zuhaili Zainal Ali membincangkan segala elemen dalam fiqh berpuasa pada bulan Ramadan yang wajib difahami seluruh Muslim, antaranya perihal permasalahan kafarah puasa, permasalahan negara yang berlainan waktu puasa serta raya dan sebagainya. Perbincangan tersebut berpandukan kitab Puasa dan Iktikaf karangan Ustaz Muhamad Zuhaili Saiman.

Daurah yang berlangsung kira- kira tiga jam lamanya akhirnya ditamatkan dengan sesi soal jawab daripada peserta. Pelbagai persoalan telah diutarakan terutamanya tentang permasalahan Haid ketika Ramadan.

Majlis Perasmian IHRAM yang serba ringkas pula disempurnakan oleh Saudara Muhammad Faiz Mujahid bin Mohd Safiee selaku Setiausaha PERUBATAN Cawangan Ain Shams. Dalam ucapannya semalam, beliau berkali- kali menitikberatkan perihal pelaksanaan amalan sunnah sepanjang Ramadan. Jelasnya, rugilah bagi orang yang mensia- siakan pahala berlipatganda yang dihadiahkan oleh Allah kepada hamba- hambanya yang beribadah di bulan Ramadan. Tambahnya lagi, penghayatan IHRAM tidak semestinya ketika kita berada di Mesir, malahan penghayatan Ramadan perlulah sentiasa dirasai meskipun sudah pulang ke Malaysia nanti.

Penyampaian cenderamata daipada Pengarah; Imran kepada perasmi; Mujahid.
Penyampaian cenderamata daipada Pengarah; Imran kepada perasmi; Mujahid.

Raudhah Ramadan yang merupakan program anjuran PCS dengan kerjasama Jawatan Kuasa Penghuni (JKP) Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) diakhiri dengan Ifthar Jamaaie dan Solat Maghrib berjemaah di surau DMAK. Kemeriahan ifthar dapat dirasai apabila seluruh ahli PCS yang hadir berbuka puasa bersama- sama penghuni DMAK di surau DMAK.

image

“Saya rasa sangat gembira dapat berkumpul bersama- sama ahli PCS setelah sekian lama kita bertawaquf. Terasa kesatuan dan ikatan ukhwah kembali bertaut.” Ulas saudari Nur Nadhira Fadzlin Md Hanafiah, Timbalan Setiausaha PCS ketika ditanya tentang objektif keseluruhan program Raudhah Ramadan semalam.