Abbasiyah, 8 Jun- Dalam kesibukan mahasiswa serta mahasiswi di Universiti Ain Shams menjalani peperiksaan, kita dikhabarkan dengan pelbagai peristiwa yang mencorak hari-hari sepi study leave menjelang peperiksaan.

Terdahulu, rumah-rumah di sekitar Abbasiyah banyak mengalami gangguan elektrik. Saban malam, penghuni rumah yang sudah maklum akan masalah ini hanya mampu mengambil langkah alternatif termasuklah studi berbekalkan lilin atau lampu kecemasan. Suasana belajar sebegini benar- benar menguji kecekalan jiwa penuntut ilmu yang sedang berhempas-pulas mengulang kaji di ambang peperiksaan.

Dalam pada itu, krew liputan PCS turut dimaklumkan tentang berita gembira sepanjang musim peperiksaan ini. Antaranya, baru- baru ini salah seorang pelajar tahun 5 Universiti Ain Shams, saudara Ahmad Fahmi Rashid Redza telah selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Mahfuzah binti Mahamud,pelajar Tahun 6, Universiti Kaherah.

Tidak ketinggalan juga, dalam tempoh satu bulan yang sama, dua mahasiswi Universiti Ain Shams, Siti Sarah Amran serta Wan Nadia Izzah telah selamat melahirkan masing- masing seorang putera.
Terbaharu, krew liputan PCS mendapat khabar gembira dari Malaysia bahawa mantan Setiausaha Organisasi PERUBATAN Universiti (OPU) Universiti Ain Shams, Wan Muhammad Syarifuddin Wan Fuad pelajar Tahun 4 bersama pasangannya, Fatin Husna Nawi, pelajar Tahun 4, Universiti Tanta turut dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Putera sulung pasangan itu diberi nama Wan Muhammad Rayyan Iskandar bin Wan Muhammad Syarifuddin.

baby comel

Menurut Wan Muhammad Syarifuddin yang lebih dikenali dengan panggilan Shah itu, puteranya itu dilahirkan secara normal di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dengan berat 3.3 kg pada 27 Mei 2013.

Tambahnya lagi, kedua isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat dan akan kembali ke Mesir selepas Syawal nanti. Saudara Shah sendiri sudahpun kembali ke bumi Mesir semalam untuk menduduki peperiksaan akhir tahun yang dijadualkan tidak lama lagi. Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat meminta agar warga PCS mendoakan dia sekeluarga terus kuat menjalani hidup bersama orang baharu.

Untuk akhirnya, warga PCS mengucapkan ribuan tahniah buat Shah dan pasangan atas anugerah cahaya mata ini. Kami ahli PCS mendoakan agar urusan Shah sekeluarga dipermudahkan dan diperluaskan rezeki oleh Allah Taala.