Abbasiyah, 5 Mei- Program solat sunat hifzi beserta munajat sempena Pilihanraya Umum Kali ke-13 (PRU 13) telah berjaya diadakan di markas PERUBATAN Cawangan Ain Shams.

Program yang dianjurkan oleh Unit Quranic Doctor PERUBATAN (QDP) di bawah Biro Pembangunan Insan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripda ahli PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) .Program ini melibatkan penyertaan daripada pelajar ikhwah dan akhawat tetapi perlaksanaannya diadakan secara berasingan.

Munajat Perdana sempena pilihanraya umum yang berlangsung pada 5 Mei 2013 memberi peluang kepada ahli PCS yang tidak dapat pulang mengundi untuk mengirim doa bagi kesejahteraan dan keamanan di bumi Malaysia. Selain itu, pengisian tazkirah bersempena dengan PRU 13 telah disampaikan oleh saudari Nur Nadhira Fadzlin binti Md Hanafiah, Timbalan Setiausaha PERUBATAN Cawangan Ain Shams.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh mengenai isu slaktivisma iaitu menyokong sesuatu isu tanpa melakukan sebarang usaha yang konstruktif terhadap isu tersebut. Dalam pada itu, beliau cuba mengaitkan hubungan antara pemuda dengan kerja sukarela kerana beranggapan bahawa kerja sukarela ini seiring dengan sifat pemuda yang mempunyai keinginan yang tinggi serta sihat fizikal dan mental.

solat sunat hifzi

Semoga dengan penganjuran program ini dapat merealisasikan visi Biro Pembangunan Insan PCS untuk melahirkan graduan Mesir yang dapat menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat sekeliling. Keputusan PRU 13 semalam menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti besar Malaysia. Tahniah dan takziah diucapkan kepada calon yang menang. Semoga kemenangan sebenar dirasai apabila tertunainya hak-hak dan amanah yang tergalas di bahu.