diam
Senyuman, bukan kerana dipaksa.

Senyum seindah suria, yang membawa cahaya

Senyumlah dari hati, duniamu berseri

Senyum umpama titian, dalam kehidupan,

Kau tersenyum ku tersenyum, kemesraan menguntum,

Senyum… kepada semua, senyumanmu amatlah berharga,

Senyum…membahagiakan, dengan senyuman terjalinlah ikatan.

 

Adik, mahu makan apa? Nasi berlauk ayam atau ikan?” Tanya seorang pramugari wanita yang kemas berpakaian uniform.sambil tersenyum menyambut permintaan kami.

Saya mahu makan ayam. Terima kasih, akak.” Saya pun menjawab sambil membalas senyuman kakak pramugari yang peramah itu. Saya ini mudah kalah dengan senyuman terutama kalau senyuman seseorang itu punya lesung pipit! Jiwa yang sedang lara pun terubat apabila melihat senyuman yang ikhlas terukir dibibir seseorang.

Senyum, smile atau ibtisam membawa makna yang sama iaitu ekspresi muka yang menunjukkan kemesraan, kegembiraan dan keterbukaan. Otot-otot muka bergabung tenaga untuk menghasilkan senyuman yang merupakan bahasa tubuh paling efektif dalam komunikasi dua hala. Kadang- kadang dengan senyuman inilah, kita dapat menarik pelanggan untuk membeli produk di pasaran. Kadang- kadang, manusia bersalah boleh dimaafkan hanya dengan senyuman. Bersyukurlah kepada Allah kerana facial nerve kita masih berfungsi.

Untuk siapakah senyuman kita itu? Tentulah untuk mereka yang paling kita sayang. Siapakah orang yang perlu kita sayang? Soalan ini terlalu subjektif. Maka, saya kecilkan skop pertanyaan saya. ‘Wahai para daie, siapakah yang kamu sayangi?’ Tidak perlu menantikan jawapan, saya yakin jawapan mereka tentunya mad’u mereka sendiri. Untuk mendekati mad’u, langkah pertama yang kita perlu lakukan adalah dengan senyum. Senyum hendaklah lahir ikhlas daripada hati bukan senyum yang dibuat-buat hingga menyebabkan orang lain menyampah dan lari jauh daripada kita.

Ain, boleh tak kalau saya mahu minta tolong kamu siapkan berita tentang Bengkel Daie yang baru berlangsung semalam? Kalau dapat siapkan malam ini lagi ahsan,tetapi kalau tidak boleh, tidak mengapalah”, minta Nurul dengan senyum simpulnya.

Ain, sila siapkan berita tentang Ahlan malam ni jugak ya, sebab saya nak masukkan dalam Perubatan Online malam ni jugak!

Dua arahan yang membawa maksud sama, tetapi berbeza kaedah penyampaian. Yang mana satu menjadi pilihan anda? Tepuk dada, tanya iman, tanya mood untuk bekerja. Kadang-kadang semangat atau hammasah kita terlalu berkobar-kobar ibarat air panas yang tengah menggelegak mahu masak tetapi kalau tidak digunakan pada masa yang sesuai dan dengan cara yang betul akan menyebabkan kulit dan lidah melecur akibat terlalu gopoh untuk minum.

Kita mengaku kita ini adalah daie, tetapi berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mencegah kemungkaran dengan cara yang berhikmah? Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang sabar dan tidak terburu-buru dalam menasihati mad’u yang kita bawa? Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mudah putus asa setelah mad’unya lari meninggalkan dan tidak mahu mendengar langsung apa yang kita cuba sampaikan? Satu sahaja jawapan kepada semua persoalan ini, iaitu ketiadaan uslub atau seni dalam berdakwah. Salah satunya adalah lemah lembut dan berhikmah.

Sikap lemah lembut itu apabila berada pada sesuatu, hanya akan menghiasinya dan sikap kekerasan itu apabila berada pada sesuatu, akan merosakkannya.

(Hadis riwayat Bukhari)

Kita bersahabat dengan mad’u bukan kerana ingin mengubah dirinya, tetapi ingin membimbingnya ke jalan yang lebih lurus. Hati manusia ini Allah ciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Hati ini merupakan raja dalam tubuh badan. Sekiranya baik hati itu, maka baiklah seluruh tubuh badan tersebut. Untuk menyentuh hati manusia, perlulah dengan cara yang lemah lembut dan berhikmah.

Nabi Muhammad Sallalahu alayhi wasallam bersabda : “Sesungguhnya Allah Maha Lemah Lembut, Dia mencintai sikap lemah lembut dalam segala hal dan Dia memberikan pada sikap itu sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras.

Imam Ahmad juga ada menyebut : “ Seseorang hendaklah menyuruh ke arah kebaikan dengan lemah lembut dan tawaduk, sebab jika mereka memperdengarkan sesuatu yang mereka benci, ia akan menyebabkan mereka marah “.

Anda suka makan pau ayam? Mari saya ceritakan serba sedikit tentang pau ayam. Untuk menjadikan tekstur pau itu lembut, bahan-bahan adunan perlulah sebati dan secukup rasa. Sama juga dengan keadaan mad’u. Apabila kita sudah fahami rentak mad’u kita, kegemarannya, kelemahannya sudah tentu kita mahu mengekalkan hubungan persaudaraan kerana Allah itu hingga ke akhirnya. Oleh itu, hatinya perlu kita jaga dan pegang dengan berhikmah dan lemah lembut pada tempatnya.

Tekstur pau sudah cukup lembut dan kembang kesan daripada yis, tetapi inti ayam pula tiada, mestilah tidak kena. Untuk menjadikan pau itu sedap dan lengkap, inti ayam perlulah dimasak. Begitu juga dengan para daie. Selain seni, ilmu sebagai isi dakwah perlu dipertingkat.Mereka bukan sekadar daie malahan berperanan juga sebagai alim dalam menyebarkan agama islam kepada orang lain. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tidak berbuah. Para daie perlu sentiasa sedar bahawa addin atau agama merupakan nasihat. Nasihat yang berterusan membantu seseorang istiqamah dalam melaksanakan amalan daripada ilmu yang mereka dapat. Dan untuk mendapatkan ilmu dan mengekalkannya bukan perkara yang mudah. Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang berterusan disampaikan kepada orang lain. Dengan ilmu, salah satu kunci kesedaran dan kefahaman telah pun terbuka.

Sedapnya pau ayam ini. Berapa harganya? Mahalnya! Patutlah mahal sebab susah nak buatnya. Nak uli tepung memerlukan kesabaran”.

Orang yang tidak sabar, hasilnya akan menjadi sia-sia. Sebagai contoh, adunan pau tersebut perlu diuli sehingga gebu untuk mendapatkan tekstur yang lembut. Bagi mereka yang tiada pengalaman, barangkali kerja menguli tepung mengambil masa yang sangat lama untuk adunan tersebut betul-betul menjadi. Berbeza pula bagi mereka yang mempunyai tangan ajaib, kerja menguli tepung ini kerja mudah kerana hanya mengambil masa sekejap sahaja.

Daie yang baru berjinak-jinak dalam amar makruf nahi mungkar hendaklah menanam sifat kesabaran dalam diri. “Anjurkan kebaikan dan cegahlah yang mungkar dan sabarlah terhadap segala penderitaanmu.” Dalam dunia realiti, tidak semua perkara mudah dilaksanakan. Onak dan duri sebagai perisa tambahan dalam kehidupan. Ujian yang hadir makin menambahkan keimanan kita kepada Allah. Berbalik kepada penghasilan pau, kadang-kadang pau yang kita buat hari ni tidak semestinya sedap seperti semalam. Barangkali pau yang kita buat esoknya lebih sedap daripada hari-hari yang sebelumnya.

Kadang-kadang, ada orang terima nasihat kita.tetapi ada juga nasihat kita ditolak mentah-mentah. Yang paling penting, kita perlu istiqamah dan ikhlas. Nabi Muhammad sallalahu alayhi wasallam bersabda : “ Istiqamahlah sekalipun kalian tetap tidak akan mampu”.

Tuntasnya, tiga item yang perlu kita praktikkan dalam pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar sekiranya kita mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Antaranya adalah ikhlas dan senyum, berhikmah dan lemah lembut, berilmu dan beramal, dan yang terakhir adalah sabar dan tenang dalam menegakkan agama Allah. Sebagai penutup, berbunganya hati saya untuk hadiahkan kalam taujihat buat sahabat seperjuangan   dengan kalamullah yang agung :

“Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”.

(Surah Muhammad : 7)

Disediakan oleh :

Siti Nadiah Binti Abdul Mutalip.
Timbalan Pengarah JAKSI, PERUBATAN AIN SHAMS.