Masa hadapan negara, di tangan kita.
Masa hadapan negara, di tangan kita.

 

 Politik dalam Islam

Ungkapan ‘as-Siyasi’ adalah diambil daripada perkataaan ‘sasa’, kata nama pelaku ialah ‘saais’ dan kata nama terbitan ialah ‘siasah’ yang bermakna penjagaan atau mengurus. Ahli siasah Islam ialah orang Islam yang komited dengan Islam yang menyelesaikan urusan umat dari sudut pandangan Islam dan hukum syarak. Fikah Siasah pula bermaksud kefahaman yang mendalam terhadap urusan umat dalam dan luaran, mentadbirnya, menjaganya menurut panduan hukum syarak dan memandunya.

 

Sistem demokrasi negara.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mana menggunakan pilihanraya sebagai cara untuk melantik pemimpin. Rakyat bertanggungjawab memilih atau mengundi pemimpin dengan penuh kebijaksanaan bukan hanya ikut-ikut. Setiap pemilihan yang dibuat perlulah dinilai sebaiknya.

Sikap perlu ada pada pengundi  dalam memilih pemimpin Negara :

1. Adil, sebagaimana sifat adil yang diperlukan pada pemimpin yang ingin dipilih.

2.Berilmu, iaitu memiliki ilmu yang membuatnya mampu menilai calon yang layak memegang jabatan  ketua negara.

3. Bijaksana, iaitu mampu memilih calon yang terbaik untuk kebaikan dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.

Sesiapa yang memberikan kesaksian (undi) kepada seseorang yang tidak soleh atau tidak layak untuk memimpin, maka mereka yang memberikan undian tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan.” –Prof. Dr. Yusuf Al-Qardawi

 

Mahasiswa

Mahasiswa dilihat oleh umum dengan tiga pandangan. Yang pertama, sebagai pewaris kepimpinan, mahasiswa  dilihat sebagai pendokong utama ke arah reformasi masyarakat melalui revolusi dan secara evolusi melalui penyertaan dalam pentadbiran negara. Yang kedua, mahasiswa juga dilihat sebagai pengubah sistem . Pengalaman dalam perjuangan mahasiswa di alam politik kampus menyedarkan bahawa banyak perkara yang perlu diubah dalam sistem negara mengikut cara yang sebenarnya. Yang ketiga, mahasiswa sering dilihat sebagi golongan yang selalu menongkah arus. Anak muda mempunyai sifat kreatif, jiwa memberontak dan bersifat tergesa-gesa mempengaruhi perubahan yang ingin dibuat dan kerana itu, perlu ada pula golongan yang memimpin kebangkitan anak muda tersebut agar tidak rosak.

 

Mahasiswa dan Politik

Berani kerana benar, takut kerana salah”.

Ramai mahasiswa berpandangan, penglibatan mereka sama ada secara langsung ataupun tidak dalam isu politik Negara tidak penting. Bahkan ada pula yang terus prejudis terhadap politik dengan mengatakan politik adalah satu isu yang kotor dan buang masa. Pandangan tersebut sangat salah kerana mahasiswalah golongan yang akan menentukan masa depan negara. Tanpa usaha memahami apa itu politik daripada alam mahasiswa mana mungkin mereka dapat menjadi pelapis kepimpinan negara masa hadapan. Merasa selesa hidup dalam dunia sendiri dengan merasa tidak bertanggungjawab langsung dengan politik merupakan satu perkara yang sangat merugikan. Dunia sekarang amat memerlukan mahasiswa yang mampu ke hadapan, melontarkan pandangan yang bernas, berfikiran terbuka dan mampu memberi kritikan yang membina. Janganlah menjadi mahasiswa yang terkebelakang, malas berfikir atau hanya pandai mengkritik tanpa tujuan pembaikan.

Dunia hari ini mengiktiraf mahasiswa sebagai orang pandai. Jika pandai maka perlulah mahasiswa menjaga urusan siasah (politik) dengan penuh kebijaksanaan dan berbekalkan semangat yang terpimpin.

 

Ditulis oleh :

NURUL IZZATI BINTI RAFAAI,
TAHUN 4, FAKULTI PERUBATAN,
UNIVERSITI AIN SHAMS.