Abbasiyah, 17 Mei –Dengan kerjasama Biro Akademik (BCAD) serta Biro Pembangunan Insan (BPI) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS), majlis Malam Munajat Perdana telah berjaya diadakan di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) semalam.

Majlis yang dianjurkan bersempena bulan peperiksaan yang bakal tiba ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ahli.

Antara program menarik yang dijalankan adalah solat sunat hajat, bacaan Yassin, roadshow ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) serta talkshow motivasi seiring dengan Exam Fever Campaign (EFC) yang telah dilaksanakan oleh Biro Akademik PCS baru-baru ini.

Walaupun bekalan elektrik terputus buat sementara waktu, namun keadaan ini dapat diatasi dan majlis berlangsung dengan jayanya.

Malam munajat 2

Program talkshow yang bertajuk “Achieve the Highest, Improve Others” merupakan acara kemuncak bagi majlis Malam Munajat Perdana semalam. Talkshow tersebut dikendalikan dengan baik oleh saudara Tuan Muhammad Akmal Hakim dengan dua panel dalam kalangan pelajar Universiti Ain Shams sendiri iaitu saudara Ahmad Nazmi Mohamad, serta saudari Dahlia Hazirah sebagai ahli panel yang berpengalaman.

Talkshow ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada ahli PCS yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi agar tidak leka memandangkan study leave diberikan oleh pihak universiti yang agak panjang.

“Program seperti ini amat bermanfaat memandangkan pada malam ini kita melihat seluruh ahli keluarga PCS bersatu hati untuk turun bermunajat bersama-sama memohon kecemerlangan sebelum bermula musim peperiksaan akhir tahun. Saya berharap program seperti ini diteruskan lagi pada tahun hadapan.” kata saudara Muhamad Arif Mohd Zahari, pelajar tahun dua ketika ditemubual oleh krew mediaPERUBATAN.

Malam munajat 1