hari ibu
The soul of the soul of the universe is Love.

 

Mei 1992

Sudah pukul 9.20 pagi. Perbicaraan  akan bermula pada pukul 10 pagi nanti. Mujur anak guamnya dikhabarkan sudah tiba di mahkamah. Dunia terasa berpusing. Rasa tidak enak menjolok-jolok anak tekak. Perut memulas meminta untuk dikeluarkan isinya.

‘Sikit lagi dah nak sampai,’ Jamilah cuba  memujuk  diri. Peluh dingin merenik di dahi dan rasa mual tak langsung menunjukkan tanda-tanda untuk surut. Angin yang sekali sekala keluar dari tekak mengeluarkan bau yang meloyakan. Stereng kereta digenggam erat.

“Tahniah, puan disahkan mengandung,” Jamilah tersenyum mengenangkan kata-kata Dr. Zarina semalam. Penantian selama dua tahun sudah berakhir. Nafas cuba ditarik sedalam mungkin. Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur muncul dalam pandangan. Alhamdulillah.

 

Januari 1993

“Macam penguin dah abang tengok Milah ni,”

“Sampai hati abang samakan Milah dengan ah…” terasa ada sesuatu yang mencengkam di bahagian perut. Sekejap dan mengejut.

“Milah okay tak?” suara Shauri kedengaran terkejut. Jamilah cuba menenangkan suaminya dengan membuat riak yang tenang.

Okay je. Mungkin false alarm kot,”

Untuk beberapa jam berikutnya rasa mencengkam tadi datang lagi sejam sekali. Akhirnya Jamilah akur untuk ke hospital setelah didesak oleh Shauri.

Bau ubat menusuk hidung. Rasa loya mula menghantui Jamilah. Peluh mula menitik dari celah anak tudung.

“Serviks baru buka 3cm ni. Puan kena tunggu dulu ya, selawat banyak-banyak, insya Allah makin mudah,” tutur Dr. Zarina dari tepi katil dan langsir yang memisahkan Jamilah dengan pesakit lain tertutup rapat kembali.

Tiba-tiba kedengaran jeritan dari katil sebelah diikuti oleh bunyi katil disorong. Jeritan yang jelas menunjukkan kesakitan yang amat sangat. Jamilah teringat yang dia pernah terbaca kesakitan ibu melahirkan lebih sakit dari kesakitan yang mampu ditanggung manusia biasa, ibarat 20 tulang dipatahkan serentak. Jamilah seolah-olah dapat mendengar degupan jantungnya.

Semakin lama rasa mencengkam tersebut semakin kerap. Bantal terasa basah dengan peluh. Nafas juga terasa tersekat-sekat. Pinggang yang lazimnya lenguh kerana anak yang dikandung semakin besar semakin lenguh dari biasa. Rasa seperti hendak buang air besar pun ada juga.

Lampu pendafluor kelihatan berbalam-balam. Jamilah dapat merasakan katilnya disorong. Rasa sakit mengaburkan pandangannya. Hanya nama Allah yang mampu dituturkan.

“Sudah 9cm. Sikit lagi puan,” kedengaran suara Dr. Zarina cuba memberikan semangat. Rasa sakit semakin ketara teramat sangat.

“Sudah 10cm, saya sudah nampak kepala bayi puan.” Tangan yang menggenggam  rel tepi katil terasa licin dek peluh. Air yang mengalir di bahagian bawah menandakan air ketuban telah pecah.

Kedengaran tangisan bayi beberapa minit kemudian. Jamilah kaku sebentar. Seolah-olah hilang rasa sakitnya. Uri dikeluarkan dan tali pusat dipotong.  Pandangannya gelap.

 

Mac 1993

Pukul 2 pagi. Jamilah terjaga mendengar tangisan Hana. Walaupun didodoi, Hana tetap menangis sehingga serak tangisannya. Dadanya membengkak menandakan sedia menyusukan bayi. Sakit. Apabila sudah penat menangis barulah  Hana akan berjaya disusukan. Sudah dua bulan dari usianya dihabiskan dengan tangisan. Dalam setiap tangisan Hana, hati Jamilah bagai dirobek-robek. Mujur ibunya setia menjaga sepanjang tempoh 40 hari berpantang. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk mengurangkan sawan tangis Hana.

 

Januari 2000

Hari pertama Hana menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Jamilah memastikan segala kelengkapan Hana cukup supaya anaknya tidak terasa kekurangan. Bahkan temujanji dengan klien turut dibatalkan supaya dapat menjemput Hana tepat pada masanya.

 

September 2005

Akhirnya peperiksaan UPSR tiba. Jamilah bertungkus lumus untuk menyiapkan segala dokumen dan tugasan supaya dapat melapangkan masa untuk menyertai solat hajat yang dianjurkan oleh pihak sekolah sepanjang tiga hari anak-anak menjawab peperiksaan.

 

Oktober 2008

Hari Sabtu. Minggu hadapan Hana akan menghadapi PMR. Jamilah singgah sebentar pasar raya Carreffour  dalam perjalanan melawat Hana di asrama. Sudah tentu coklat, biskut dan pelbagai lagi kesukaan Hana termasuk dalam senarai membeli belah.

Perjalanan diteruskan. Masih ada 20km untuk sampai ke Kepong. Mata tiba-tiba terasa berat.  Jamilah terkaku, mengingatkan yang dia masih belum menjamah apa-apa makanan dari pagi memandangkan ada perbicaraan di Shah Alam dan urusan untuk diselesaikan pejabat agama di Kajang. Tiba-tiba pandangannya gelap. Mujur lima saat kemudian matanya kembali terbuka dan meremang bulu roma apabila mendapati keretanya berada di lorong paling kanan lebuhraya tersebut.

 

September 2011

Pemergian Hana melanjutkan pelajaran ke Mesir dihantar dengan senyuman dalam tangisan. Jamilah dan Hani, si adik dikhabarkan bergilir-gilir menangis selama dua minggu menurut Shauri kerana merindui Hana.

 

April 2019

Akhirnya anak sulungnya bakal bernikah walaupun Hani sudah langkah bendul terlebih dahulu. Sejak dua tahun kebelakangan ini Jamilah tidak mampu tidur lena mengenangkan jodoh anak sulungnya. Biarlah orang kata dia terlalu mengikut perasaan, tapi hendak buat macam mana, memang itu apa yang dia rasa. Hana bagaikan sudah menyerah yang dirinya tiada jodoh. Sikap Hana yang tidak peduli yang lebih merisaukannya.

Segala persiapan untuk majlis Hana dipastikan diuruskan dengan sebaik mungkin. Dari tempahan dewan, kad jemputan sehingga jenis gula-gula yang ingin dimasukkan dalam cenderahati untuk tetamu, semuanya ditentukan Jamilah. Semakin dekat tarikh, Jamilah yang orang yang paling berdebar. Bak kata Shauri, macam Jamilah pula yang nak naik pelamin.

 

Februari 2021

Hana selamat melahirkan anak lelaki. Jamilah yang baru bersara dari dunia perundangan mengambil peluang untuk mengisi masa lapangnya dengan menjaga Hana sepanjang tempoh berpantang. Anak Hani yang dua orang turut dijaga di rumah Hana apabila Hani sedang bekerja.

 

Januari 2022

Usia Jamilah menginjak ke angka 56. Lantaran anak-anak semakin sibuk, Jamilah yang mengambil alih tugas mengasuh cucu-cucunya. Dia tidak ingin cucu-cucunya diasuh pembantu rumah seperti yang terpaksa dilakukan terhadap anak-anaknya memandangkan dia merupakan ibu yang bekerjaya.

 

Jiwa ibu.

Hakikatnya, tugas seorang ibu itu mulanya dari saat bermula kehamilan sehingga bila-bila, selagi masih mampu, hatta sudah bercicit sekali pun. Walaupun tiada undang-undang yang menyatakan hingga sedemikian, namun peraturan ini tertanam dalam naluri setiap ibu. Dan yang paling penting, tiada sesiapa akan faham betapa dahsyatnya pengorbanan seorang ibu sehingga dia melahirkan anak dari rahimnya sendiri.

Biarpun pendapat sang ibu mungkin tidak sehaluan dengan pendapat si anak, tiada apa yang diharapkan selain kebaikan untuk anaknya sendiri. Sebab itulah syurga terletak di bawah telapak kaki ibu.

Saat sudah menjadi ibu, naluri itu tidak dapat dibuang, hingga saat dijemput Ilahi.

 

Ditulis oleh :

Nur Izzati Binti Mohd Shafe’e
Tahun 2, Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams.