kematian

 

Hari ini, sudah hampir pertengahan Rejab 1434 Hijrah. Tinggal beberapa hari sahaja lagi bulan Ramadan akan tiba. Bukan semua manusia yang dapat bertemu bulan yang begitu banyak ganjaran yang ditawarkan oleh Allah itu. Baru-baru ini, seorang sahabat satu sekolah aku, telah pun pulang ke rahmatullah. Aku segera mencari gambar-gambar zaman sekolah aku. Gambar-gambar berkenaan, mengembalikan semula kenangan yang telah lama terbiar berhabuk dan berkarat di dalam memori aku ini. Pagi ini, aku tidak dalam keadaan yang ceria. Memori tersebut menyebabkan mata aku mengalirkan air mata yang sekian lama tidak mengalir.

Maka benarlah, berita kematian itu mengingatkan dan menginsafkan kita bagi sesiapa yang berfikir. Dalam tangisan aku, perasaan aku bercampur baur. Antara sedih, takut dan menyesal. Siapa tidak berdukacita dengan berita kematian seseorang yang pernah hadir dalam kehidupan kita? Aku termenung di tepi tingkap dan memerhatikan alam ini. Perasaan aku bermonolog. Hidup ini umpama mimpi. Mungkin sahaja, pada hari ini, engkau baru sahaja bertemu dengan seseorang sahabat atau ahli keluargamu atau sesiapa sahaja.

Pada hari ini, engkau masih melihat pergerakan tubuhnya. Pada hari ini, engkau masih mendengar suaranya. Namun mungkin sahaja, pada esok hari, badannya sudah kaku. Engkau hanya melihat tubuhnya kaku tidak bergerak. Engkau tidak lagi mendengar suaranya.

“ Agak-agak kau, siapa dalam batch kita ini, yang akan meninggal dahulu?” tanya aku kepada salah seorang sahabat sekuliah aku. Satu soalan retorik dan pasti tiada jawapan, kerana jawapannya hanyalah milik Allah. Pandang kiri dan kanan anda. Tatap wajah rakan-rakan anda. Tatap wajah ibu bapa anda sekiranya anda bersama mereka. Boleh jadi, itu saat terakhir anda menatap wajahnya sebelum tubuh mereka dibalut dengan kain kafan berwarna putih.

Hargailah masa yang ada ini. Kukuhkanlah hubungan silaturrahim sesama kita selagi mana peluang masih terbuka. Wujudkanlah hubungan ukhuwah yang terjalin atas dasar mengejar kerahmatan Allah.

Wujudkan hubungan persaudaraan yang terjalin atas dasar cinta kerana Allah. Kerana, janji Allah melalui hadis Nabi Muhammad sallalahu ‘alaihi wasallam, hubungan persaudaraan yang dibina atas dasar cinta kepada Allah, bakal dinaungi oleh Allah di akhirat kelak. Janganlah lepaskan peluang menghadiri aktiviti yang bermatlamatkan mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama kita. Jauhilah sikap dan sifat mengurung diri di dalam bilik atau tidak mengambil kisah tentang sahabat kita. Boleh jadi, sewaktu saat kematian kita, tiada siapa mengambil kisah tentang nasib kita.

Oleh itu, saya memohon jasa baik sahabat sahabiah sekalian, sama-samalah kita menghadiahkan al-Fatihah dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam kepada Allahyarham Shahril Azwan. Walaupun dia bukan dari mahasiswa perubatan di Mesir, tapi dia adalah saudara seagama kita.

Semoga engkau dicucuri rahmat oleh Allah, tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah.

Wassalam.

 

Khairul Anwar Bin Razali,
Pengarah Jawatankuasa Keselamatan & Sosial Islam (JAKSI),
PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS).
Bekas Pelajar Sekolah Alam Shah (SAS) sesi 2003-2007.