Abbasiyah, 25 April – Biro Pembangunan Insan (BPI) PERUBATAN Cawangan Ain Shams (PCS) telah menganjurkan program Light Up d’ Night atau Qiamullail Perdana khusus untuk pelajar ikhwah. Program tersebut telah berjalan dengan baik di markas PERUBATAN Abbasiyah semalam.

qiam2

Peserta telah bermalam di markas pada malam tersebut bagi memudahkan mereka untuk bangkit pada waktu pagi. Antara aktiviti yang dijalankan adalah solat sunat, bacaan Al-mathurat serta kuliah subuh yang telah disampaikan oleh saudara Muhammad Zaim bin Mohd Samsuri, pelajar tahun 4 PERUBATAN Cawangan Ain Shams. Solat sunat hajat turut dijalankan bertujuan untuk mendoakan kesejahteraan politik di Malaysia. Program diakhiri dengan sarapan pagi yang telah disediakan oleh pihak BPI.

Menurut saudara Mohamad Imran Bin Nasaruddin, Ketua Biro Pembangunan Insan (BPI) PERUBATAN Universiti Ain Shams, “Semangat yang kita hendak lahirkan dalam qiamullail ini adalah supaya ahli terus istiqamah menunaikan solat malam terutamanya dua pertiga malam kerana banyak fadhilat yang dijanjikan oleh Allah SWT buat hambaNya termasuklah wajah tampak berseri, dipermudahkan urusan seharian dan sebagainya.”

Program ini sekaligus menjayakan visi BPI iaitu melahirkan graduan Mesir (PERUBATAN) yang mampu menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat sekeliling. Diharapkan ahli PERUBATAN sekalian dapatlah sama-sama mengikuti sunnah Rasulullah SAW ini agar dapat melahirkan seorang doktor yang bukan sahaja professional bahkan mempunyai pegangan yang jitu terhadap syariat islam.

qiam1