Hayyu Sabie’, 19 April – Unit Mentor Council Biro Pembangunan Insan PERUBATAN 2013/2014 telah menganjurkan program LOVE ISLAM FOR ETERNITY 2013 (LIFE GEMPAK ’13) yang bertempat di markas PERUBATAN Hayyu Sabie’(Darul Hamka). Bertemakan “Mahasiswa Islami Qudwah Insani”, program ini berjaya menggabungkan kesemua mahasiswa tahun satu daripada Universiti Ain Shams dan Universiti Kaherah.

Program LIFE ini diadakan bertujuan memperkukuh tautan ukhuwwah dan persaudaraan sesama ahli PERUBATAN serta membantu pelajar-pelajar tahun satu mengenali PERUBATAN dengan lebih dekat. Dalam pada itu, LIFE juga menjadi medium menyampaikan input ilmiah berkenaan dengan ajaran Islam pada tahap yang sesuai dengan latar belakang dan pemikiran pelajar.

 

LIFE GEMPAK’13 telah dirasmikan oleh saudara Mohammad Imran bin Mohammad Nasaruddin, Ketua Biro Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Ain Shams 2013/2014. Sepanjang program dijalankan, tiga kertas kerja telah berjaya dibentangkan iaitu “Love Islam for Eternity”, “What Can I Do for Islam”, dan Kesatuan Mahasiswa Islam: “One” yang menampilkan barisan penceramah yang cukup mantap dan berkaliber. Antara slot yang mendapat sambutan yang menggalakkan ialah Slot 2 forum “What Can I Do for Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Nafiq dan saudara Muhammad Izzudin Nadzif. Forum ini menjelaskan lagi tentang definisi, konsep dan kepentingan amal ijtima’ie.

Selain itu, program LIFE GEMPAK ’13 ini juga turut diisi dengan slot “Teknikal Solat Cara Nabi”yang dibawakan khusus untuk mahasiswi dan telah disampaikan oleh Ustazah Rabiatul Adawiyah binti Samsudin.

Seterusnya, program dimeriahkan lagi dengan penyampaian anugerah peserta terbaik LIFE daripada setiap universiti. Mereka telah dinilai dari segi komitmen dalam program LIFE dan Smart Circle (SC) oleh mentor-mentor sepanjang program berlangsung. Anugerah ini telah berjaya disandang oleh saudara Abdullah Mustafa bin Azenan dan saudari Nur Adila Athira binti Mohd Ramzi daripada Universiti Ain Shams manakala saudara Shahrul Arif dan saudari Nur Syazwin daripada Universiti Kaherah.

“Alhamdulillah, melalui pengisian yang diberikan sepanjang program ini dapat membuka mata kami pelajar tahun satu agar mampu berfikir dan menilai sesuatu perkara dengan lebih matang. Selain itu, program ini dapat memberi pencerahan kepada kami tentang hadaf dan peranan sebenar seorang pemuda mahupun pemudi dalam gerak kerja Islam”ujar saudari Nur Adila Athira binti Mohd Ramzi.

Semoga program LIFE GEMPAK ’13 yang dianjurkan ini memberi natijah yang positif dan diharapkan agar seluruh peserta untuk terus komited dalam menjadi rantai-rantai perjuangan Islam pada masa kini serta menjadi mahasiswa yang tabah dan cekal dalam menimba ilmu perubatan mahupun ilmu agama.

LIFE Gempak 2013-1