Abbasiyah, 23 Mac- Buat kali ketiga Universiti Ain Shams telah mengadakan program Ain Shams Family Day (ASFaD) dengan bertemakan “We Are Elated Because We Are Related”. Program ASFaD ’13 dijalankan secara berasingan dan bertempat di Istad Abbasiyah bagi pelajar ikhwah manakala untuk pelajar akhwat bertempat di Nadi Syabab Al-Wailiy.

 

Pada tahun ini pihak badan pelaksana program telah menyusun aktiviti berbentuk kesukanan sebagai tentatif utama ASFaD ’13 kerana beranggapan jalinan ukhuwwah dapat dibina selain melahirkan modal insan yang sihat dari segi kesihatan jasmani melalui aktiviti sukan.

 

Para peserta mula memenuhi perkarangan istad pada pukul 7.30 pagi dan berkumpul mengikut rumah sukan masing-masing. Walaupun cuaca semalam tidak mengizinkan dengan kehadiran ribut pasir yang tidak disangka-sangka namun ini tidak mematahkan semangat warga Ain Shams untuk meneruskan program ASFaD ’13.

 

Antara aktiviti sukan yang telah diadakan ialah Quiditch, Goblet of Aqua, Dodgeball dan Tug of War bagi pelajar ikhwah. Keempat-empat aktiviti ini ternyata mampu merapatkan jurang antara pelajar senior dan junior kerana setiap aktiviti memerlukan kerjasama antara ahli pasukan.

 

“ ASFaD tahun ini membuka peluang bagi saya untuk mengenali junior dan senior dengan lebih baik”, ujar saudara Nadzim bin Nadzri pelajar Tahun 2 ketika dihampiri oleh krew mediaPERUBATAN.

 

Mengulas kenyataan Pengarah ASFaD 2013, saudara Khairul Anwar, program ASFaD ’13 kali ini berjalan dengan baik walaupun terdapat sedikit kekurangan dan ini merupakan kelemahan dari pihak badan pelaksana program.

 

“Tujuan kami hanyalah satu iaitu mengukuhkan hubungan persaudaraan mahasiswa dan mahasisiwi Ain Shams”, jelas beliau lagi.

 

Diharapkan program ASFaD ’13 pada tahun ini mencapai matlamatnya yang ingin membina dan merapatkan hubungan baru ataupun yang sudah lama terjalin antara ahli PERUBATAN Ain Shams. Segala usaha dan keringat yang dicurahkan oleh pihak badan pelaksana program amatlah dihargai oleh seluruh warga Ain Shams.

asfad13 2